Thursday, May 10, 2012

Peti Thabut (The Ark of the Covenant)




Peti Thabut telah menjadi satu hal yang misteri sekian lama. Ia disebut hanya satu kali di dalam Al-Quran. Firman Allah swt bermaksud :

“Dan nabi mereka berkata kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan itu ialah datangnya peti Thabut yang mengandungi sakinah (ketenteraman?) daripada Tuhan kamu, dan sisa peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun, dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda bagimu jika benar kamu orang yang beriman.”
(Al-Baqarah : 248)
Inilah satu-satunya ayat dalam al-Quran yang menyebut tentang Thabut secara langsung.Tidak terdapat perkataan Thabut lagi di dalam ayat-ayat yang lain.
Siapakah pula yang disebut ‘nabi mereka’ dalam ayat di atas itu? Dari ayat 246 hingga 248 surah Al-Baqarah, tidak dijelaskan Nabi manakah yang diidentitikan sebagai ‘nabi mereka’ itu.

Sebenarnya kisah ini berkaitan dengan kaum Bani Israel yang menuntut kepada ‘nabi mereka’ agar mereka diberikan seorang Raja kerana sebelum itu mereka hanya dipimpin oleh para hakim saja. Alasan mereka, jika mereka mempunyai seorang raja, maka mereka akan merasa lebih bersemangat untuk pergi berjihad.

Oleh itu seorang pemuda bernama Talut yang mempunyai ilmu pengetahuan dan gagah telah dipilih menjadi raja mereka. Bagaimanapun selepas dipilih menjadi raja dan bila sampai perintah perang jihad dari Tuhan, tidak kesemua dari mereka menyahut seruan jihad itu kerana kononnya mereka tidak setuju dengan perlantikan Talut yang berasal dari rakyat biasa dan bukannya dari golongan bangsawan.

Ketika mereka sedang berbalah sesama mereka, Allah telah menghantar Peti Thabut diatas sebuah kereta lembu sebagai bukti bahawa perlantikan Talut oleh ‘nabi mereka’ itu adalah tepat dan ianya dari perintah Allah swt.

Apakah Peti Thabut?

Peti Thabut adalah sebuah peti yang mengandungi dua buah batu Loh yang tertulis penulisan Kitab Taurat Nabi Musa a.s, sebatang tongkat Nabi Musa a.s yang digunakan untuk membelah lautan semasa dikejar Firaun, serban Nabi Harun a.s dan sedikit makanan yang diturunkan dari langit untuk Nabi Musa a.s dan pengikutnya ketika mereka tersesat di padang pasir Manna. Terdapat ukiran patung dua malaikat yang membuka sayapnya di bahagian atas peti itu. Peti itu berukuran dua setengah hasta panjang, satu setengah hasta lebar dan tinggi. Ia diperbuat dari kayu keras jenis akasia (penaga), bahagian dalam dan luarnya disepuh dengan emas murni. Di sudut-sudut Thabut ada 4 cincin / gelang emas, penutupnya dari emas murni, kayu pengusungnya juga disepuh dengan emas murni.

Bani Israel percaya bahawa Peti Thabut mempunyai banyak keistimewaannya. Mereka percaya bahawa barang siapa yang dapat memiliki Peti Thabut akan mendapat keberkatan dan pertolongan dari Allah swt. Jika dibawa berperang, ia boleh memberikan ketenangan, ketenteraman dan semangat serta mampu mengalahkan musuh.

Bani Israel juga percaya, hanya pendeta dari suku Lewi saja yang mampu membawanya atau menatap isi kandungannya. Oleh itu Peti Thabut selalu ditutupi dengan kain berwarna biru dan kulit binatang.

Peti Thabut berada dalam jagaan Bani Israel hanya selama 40 tahun, selepas itu Peti Thabut pernah berpindah tangan kepada orang Filistin, namun hanya untuk 7 bulan sahaja, orang Filistin mengembalikan Thabut kepada orang Israel semula kerana mereka mendakwa ketika mereka menyimpan Peti Thabut itu banyak wabak penyakit menular dan mengorbankan banyak nyawa. Akhirnya bila Nabi Daud a.s memimpin Bani Israel melawan orang Filistin, Thabut kembali semula ke pangkuan Bani Israel. Selepas itu Allah swt memerintahkan Nabi Daud a.s membina sebuah rumah suci untuk menyimpan Peti Thabut itu, lalu usaha itu dilakukan oleh anakandanya Nabi Sulaiman a.s. Menurut catatan dalam perjanjian lama, Peti Thabut disimpan disitu sekitar tahun 955 Sebelum Masihi, namun dalam sekitar tahun 620 Sebelum Masihi didapati Thabut telah lenyap atau hilang.

Sehingga kini, Peti Thabut telah hilang ditelan masa, ianya telah lenyap bersama sejarah. Tiada siapa yang tahu dimana Peti itu berada kecuali mereka yang diizinkan Allah swt. Bangsa Yahudi dan Dajjal sedang mencari kembali Peti Thabut ini.

Di Gereja Our Lady Mary, Axum, terdapat sebuah peti yang dipercayai Peti Thabut. Ia digunakan sekali sekala bila ada perayaaan keagamaan. Banyak juga Peti Thabut disimpan di gereja-gereja di Ethiophia. Tetapi ia hanyalah peti replika saja! Peti Thabut yang sebenar masih ada tersimpan ditempat yang tersembunyi.



Apakah Sakinah yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran diatas?

Maksud yang paling tepat untuk ‘sakinah’ ialah kebaikan, ketenangan atau ketenteraman. Maksud sebenar hanya Allah swt yang mengetahuinya.

Ada beberapa ayat al-quran lagi yang ada perkataan ‘sakinah’, antaranya ialah :

“Dialah yang menurunkan SAKINAH ke dalam hati orang-orang mukmin supaya bertambah keimanan dan keyakinan mereka beserta keimanan dan keyakinan sedia ada; padahal Allah menguasai tentera langit dan bumi, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Fath: 4)

“Demi sesungguhnya Allah redha akan orang-orang yang beriman ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Muhammad) di bawah naungan pohon (di Hudaibiah), maka ternyata apa yang sedia diketahuiNYa tentang yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan SAKINAH ke atas mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”
(Al-Fath: 18)

“(Ingatlah) ketika orang-orang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh dalam hati mereka- perasaan sombong angkuh secara jahiliah, lalu Allah menurunkan SAKINAH kepada RasulNya dan kepada orang-orang beriman..”
(Al-Fath: 26)

Apapun maksudnya, makna sakinah diatas lebih menjurus kepada hal-hal spiritual, ia berkaitan dengan hati atau jiwa!

Mungkinkah Peti Thabut ada tersembunyi di bumi yang aman tenteram iaitu di Bumi Darussalam?

Jika Peti Thabut sudah ditemui atau sudah kembali sekali lagi , maka ianya bererti semakin hampirlah masa akan munculnya seorang pemimpin atau Raja yang ditunggu-tunggu bagi ummah ini, seorang raja seperti Talut! Raja yang boleh memimpin angkatan perang, dia akan memimpin sebuah kerajaan baru, kerajaan yang bernaung dibawah satu panji Khalifah! Raja ini akan memimpin kebangkitan akhir zaman dan dia tak akan terkalahkan!

“…. Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda bagimu jika benar kamu orang yang beriman.”
(Al-Baqarah : 248)

Dalam ayat 248 surah Al-Baqarah diatas, nama Talut tidak disebut, dia disebut dalam ayat sebelumnya! ‘kerajaan itu’ juga tidak dikhususkan kepada mana-mana kerajaan, Oleh itu kenyataan bila datangnya Thabut maka ia akan menjadi tanda akan berdirinya satu kerajaan boleh juga digunakan kepada kedatangan seorang pemimpin dan sebuah kerajaan yang ditunggu-tunggu diakhir zaman !

3 comments: